RSS

~Bioteknologi menyumbangkan pendapatan dan meningkatkan pelaburan kepada negara~


PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM) semalam mengenal pasti 10 Projek Permulaan (EPP) khusus bagi meningkatkan sektor bioteknologi negara, sekali gus bakal melahirkan 20 projek pencetus yang mampu meningkatkan pendapatan negara kasar RM3.6 bilion dan mewujudkan 13,600 peluang pekerjaan baru berkualiti tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sepuluh EPP di bawah Inisiatif Bioekonomi Malaysia (IBM) itu bertujuan meningkatkan sektor bioteknologi negara meliputi tiga bidang utama iaitu pertanian, penjagaan kesihatan dan perindustrian.

Sambil melahirkan rasa gembira dengan pencapaian IBM diwujudkan kerajaan di bawah Dasar Bioteknologi Negara (NBP) kerana memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara, beliau berkata, pencapaian sektor bioteknologi negara ketika ini sangat menggalakkan.
“Contohnya di bawah pelaksanaan fasa kedua NBP iaitu dari 2011 hingga 2015 yang memberi fokus menjadikan industri menjurus kepada bidang perniagaan dan pengkomersialan dengan sasaran pelaburan sebanyak RM9 bilion sehingga menjelang 2015.

“Pencapaian kita setakat ini mencapai sasaran terbabit dengan jumlah pelaburannya mencecah RM12.7 bilion, manakala dari segi bilangan pekerjaan dijana dalam tempoh sama adalah 80,000 dan sehingga kini pencapaiannya ialah 64,753 peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Program Transformasi Bioekonomi (BTP) bagi melonjakkan industri bioteknologi ke tahap lebih tinggi dan mengumumkan keputusan mesyuarat menukarkan nama ICM kepada Majlis Bioekonomi Kebangsaan memandangkan istilah bioekonomi dilihat lebih menyeluruh berbanding bioteknologi. Mengenai 10 EPP itu, ia merangkumi input industri bioteknologi, bahan bio-kimia daripada sumber boleh diperbaharui, biobahan daripada bahan boleh diperbaharui, hasil ladang tempatan berasaskan bio dan bahan bio tempatan bernilai tinggi.
Selain itu, kepelbagaian sumber makanan tempatan bernilai tinggi, biosimilars, khidmat praklinikal dan penemuan ubatan, saringan molekul dan khidmat diagnostik serta sel tunjang dan perubatan altenatif.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, strategi BTP dilihat sebagai pemangkin meningkatkan dan melengkapkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan fokus utama kepada usaha meningkatkan pelaburan swasta dan mengurangkan kebergantungan industri kepada sektor awam pada masa depan.
Mengulas lanjut katanya, pembangunan bioteknologi juga mewujudkan beberapa industri baru yang sebelum ini tidak pernah ada di Malaysia.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/31

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Pages