RSS

~Ujian dalam membina mahligai~

Assalamu'alaikum

Kehidupan kita sehari-harian tidak akan ada seri tanpa ujian. Ujian yg hadir banyak memberi kebaikan sebenarnya pada satu sisi yang positif dan pada satu sisi yang negatif, ia dapat menjadikan seseorang itu lemah semangat dan ada yang menyalahkan Allah SWT atas hadirnya ujian tersebut. Sebenarnya, ia terpulang pada individu tersebut untuk mengambil ia sebagai suatu yang positif atau negatif.



Seorang individu yang menghadapi ujian dengan pemikiran yang positif akan sabar, redha, sentiasa memperbaiki diri ke arah yg lebih baik dan mendekatkan diri kpd Allah SWT. Manakala individu yang mengambil ujian tersebut dengan pemikiran yg negatif akan merosakkan diri sendiri seperti mengambil pil tidur, membunuh diri (segelintir), menyalahkan Allah SWT, menjauhkan diri daripada Allah SWT, minum arak, clubbing, seks bebas, merokok (bagi yang tidak merokok), hisap ganja dan sebagainya.

Individu yg menghadapi ujian dengan pemikiran yg negatif ada diceritakan di dalam alquran dimana, apabila Allah menguji mereka, mereka menjadi kufur.





 Dan di antara manusia ada orang yang berkata: "Kami beriman kepada Allah", maka apabila ia disakiti (karena ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah. Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: "Sesungguhnya kami adalah besertamu." Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?

Dan sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman: dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang munafik. (Al-'ankabuut; ayat 10-11)

Ujian yang hadir sebenarnya indah jika kita berjaya menghadapi dengan penuh keimanan. Bukankah ada hadis nabi yang  bermaksud; Jika tingginya iman seseorang, semakin beratlah ujian yang akan dihadapinya.


Bukankah beruntungnya kita apabila diberi ujian yang berat, kerana itu beerti kita kemungkinan tergolong dalam golongan yang mempunyai iman yang tinggi. Sebagaimana begitu hebat ujian yang dihadapi oleh para nabi, kekasih Allah SWT, ujian yang dihadapi oleh bilal yg diletakkan batu yg besar di atas dadanya, dan para ulama' dalam menghadapi kehidupan dunia ini. Subhanallah, beruntunglah orang-orang yang dianugerahkan ujian yang berat itu.

Ujian yang hadir bukan beerti buruknya sesuatu pilihan, tapi Allah SWT uji untuk melihat betapa kata-kata yang keluar dari mulut dan yg terbit dari hati bahawa; aku seorang yang beriman. Jika benar kata-kata kita bahawa kita seorang yang beriman, kita akan bersabar dengan ujian, tidak mudah berputus asa, redha menerima dan menghadapinya dengan penuh keimanan.

Ujian yang hadir mengajar individu agar lebih tahan lasak dengan mehnah kehidupan, memperbaiki diri ke arah yg lebih baik, beroleh ganjaran pahala apabila sabar menghadapinya, dikurniakan syurga, meningkatkan motivasi diri, dapat berkongsi dengan orang lain apabila org lain memerlukan nasihat dan pandangan. Apabila kita telah berjaya mengharungi ujian tersebut dengan jayanya, kita akan rasa betapa nikmatnya ujian tersebut. Allah SWT uji kita, akhirnya diberikan pada kita nikmat, penyelesaian masalah dan kejayaan sehingga dengan ujian tersebut kita menjadi insan yang baru, insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Ujian apabila mahligai bakal dibina 



Dua insan yang telah berjanji setia untuk mengikat hubungan cinta yang halal akan diuji. Di saat ini, semua syaitan akan dikerah oleh boss mereka untuk berusaha agar ikatan halal yang akan dibina tidak berlangsung. Apakan tidak, seorang yang telah bertunang, kemudian beristikarah buat sekian kalinya, kemudian bermimpi lelaki lain hadir dalam mimpinya, bukan tunangnya, akhirnya memutuskan tali pertunangan. Itulah salah satu permainan syaitan yang amat licik kerana mereka telah cukup kenal manusia ,sejak dari nabi adam diciptakn oleh Allah SWT sehinggalah ke hari ini mereka menggoda manusia. Akhirnya, hubungan cinta halal yang bakal dibina tidak kesampaian dan berpesta lah syaitan kerana anak adam tidak berjaya membina hubungan yg halal. Ertinya, mereka masih punya dua insan untuk digoda dalam mencari perkara yang haram.


Islam telah mengajar kita dalam mencari pasangan. 4 perkara yang perlu dilihat pada bakal suami atau isteri iaitu kecantikan, kekayaan (harta), keturunan dan agama. Namun, jika tiada yang tiga tapi ada yang satu iaitu agamanya, engkau terimalah ia. Lihatlah betapa indahnya, Islam mengajar kita. Tidak perlu mengenal sehingga bertahun-tahun lamanya untuk mengikat hubungan yang halal. Beristikarah itu perlu, agar pilihan yang kita telah buat membawa kebaikan untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama. Setelah beristikarah dan membuat pilihan, buatlah perbincangan dengan ahli keluarga untuk mengikat ikatan yang halal. Perbincangan dengan keluarga perlu dibuat kerana mereka lebih berpengalaman dalam alam rumahtangga. Jika persetujuan telah dicapai, merisik boleh dilakukan dengan pertemuan ahli keluarga sebelah pihak perempuan dan lelaki. Selepas itu, perbincangan boleh dilakukan untuk menetapkan tarikh prnikahan, dan sebagainya.

Mudahkan Islam itu. Sebenarnya, Islam itu tidak menyukarkan manusia tapi manusia yang menyukarkan agama. Pernikahan dalam Islam itu mudah sekali. Namun manusia yang mendahulukan adat, bermegah-megah, dari agama itu sendiri menyebabkan perkara yang mudah menjadi sukar. Berapa ramai anak-anak muda yang ingin mendirikan rumahtangga, akhirnya terpaksa menangguhkan disebabkan permintaan ibu-bapa yang mendahulukan adat dan bermegah-megah. Jika tidak diikuti, dikatakan anak derhaka.

Akhirnya, disebabkan perkara ini, anak-anak tersebut melakukan perkara terlarang tanpa pengetahuan ibu-bapa mereka sehingga lahirlah anak luar nikah, pembuangan bayi, seks bebas dan sebagainya. Semua ini, amat memalukan! Amat memalukan! Jadi siapa yang perlu dipersalahkan? Anak-anak mereka yang JAHAT atau mereka sendiri? ya Allah, Islam itu mudah ,kenapa hendak disukarkan perkara yang mudah. Jika anak-anak masih tidak mampu dan tidak punyai kewangan yang cukup, cukuplah buat NIKAH GANTUNG dahulu kerana itu lebih baik dari menghalang mereka untuk mengikat hubungan yang halal. 


Nikah gantung dalam mencari yang halal


Apa yang penulis nampak dengan jelas, solusi hari ini, untuk masalah remaja yang semakin membimbangkan adalah nikah gantung. Kenapa nikah gantung? Ini kerana, si anak remaja masih belum punyai kewangan yang cukup untuk membuat kenduri yang besar sepertimana permintaan ibu-bapa mereka. Apabila mereka nikah gantung, mereka sudah ada hubungan yang halal, jadi apabila mereka berjumpa atau melakukan hubungan cinta, jika melahirkan anak, anak mereka adalah sah. Dalam masa yg sama,pasangan tersebut dapat kumpul duit bersama-sama untuk membuat kenduri yang besar sebagaimana permintaan ibu-bapa mereka. Mudahkan! Dan cara ini lebih selamat dan dapat menjaga nama baik keluarga daripada menghalang anak-anak mereka berkahwin,akhirnya banyak berlaku perkara yang memalukan keluarga dan ibu-bapa sendiri.


Mencari yang halal itu indah dan untuk mengekalkan hubungan cinta halal itu sukar kerana ia juga akan diuji. Sewajarnya, ibubapa menjadi pendorong dan penasihat utama dalam membantu anak-anak bahagia dalam alam rumahtangga kerana mereka lebih arif dan 'makan garam dahulu', menghadapi ujian dalam alam rumahtangga. Hari ini, dapat dilihat statistik penceraian orang muda semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ujian awal pernikahan, 1-10 tahun pertama perkahwinan adalah proses pasangan mengenal sifat sebenar pasangan dan membina rumahtangga. Statistik kajian oleh beberapa individu, menunjukkan bahawa kebanyakkan pasangan yg bercerai adalah dalam tempoh ini. Jika mereka berjaya mengharungi dalam tempoh ini, insyaAllah, ikatan halal yg dibina akan berkekalan atau bertahan hingga jangka masa tempoh yg lama.

Ujian itu akan hadir dalam mencari yang halal dan ujian juga akan hadir apabila telah berumahtangga. Inilah sebuah kehidupan di dunia, hadapi ujian dengan fikiran yang positif, redha, bersabar dan sentiasa mendekatkan diri pada Allah SWT tidak kira ketika senang maupun susah. InsyaAllah mahligai yang bina akan membawa kesemua penghuninya ke syurga . 

Penulis merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains (Bioteknologi), UPM dan Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Industri, UNISEL. Penulis amat meminati penulisan islamik dan bercita-cita berdakwah melalui pena;menghasilkan buku motivasi islam dan novel islamik yang diterbitkan . Moga sedikit ilmu,pemikiran dan pandangan yang dilakarkan dapat menjadi panduan buat masyarakat diluar sana dan agar para remaja sedar dengan penuh keinsafan bahawa mudah dan indahnya agama Islam yang dianuti oleh mereka sejak lahir. Lawati blog; http://yummieislam.blogspot.com.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Pages