RSS

~Mencari sinar yang hilang~


Mencari sinar yang hilang
Oleh: Maryam
Assalamu’alaikum

Alhamdullilah. Hari ini saya masih diberi kesihatan yang baik dan saya dapat curahkan sedikit tenaga,masa dan idea atas nama pena penulisan. Dunia hari ini seolah-olah telah sarat dengan bermacam-macam maksiat yang dilakukan oleh manusia.

Kita boleh lihat di Malaysia sahaja, tiap-tiap hari ada sahaja kes-kes pembunuhan,pembuangan bayi , ragut dan sebagainya dipaparkan dalam suratkhabar. Itu perkhabaran yang diketahui,bagaimana yang tidak dikhabarkan kepada umum,mungkin disebabkan disembunyikan atau maklumat tersebut tidak sampai kepada pihak media.

Baru sahaja di Malaysia,bagaimana dengan negara-negara lain;negara barat yang mencatat kes jenayah yang paling tinggi di dunia. Kenapa semua ini berlaku? Jawapannya ,sememangnya telah kita ketahui telah sekian lama melalui qalam Allah.

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah)di bumi  itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."( Al Baqarah;ayat 30)

Di dunia ini,Allah uji kita dengan pelbagai kesusahan,kesenangan,harta,anak-anak,wanita dan sebagainya. Ada insan yang  berjaya menempuhinya dengan tabah dan sabar,ada insan yang gagal ditengah jalan dan ada insan yang menyalahkan Allah atas segala keperitan yang dialami.

Begitu lah dunia,tiada seorangpun akan terlepas dalam menghadapi ujian itu,kerana ujian itu kayu pengukur keimanan seseorang. Adakah dia sabar menghadapi ujian yang Allah berikan padanya atau sebaliknya.

Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun, Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?( Al Mulk;ayat 1-3)

Ujian itu yang dihadapi insan menyebabkan sinar kehidupan semakin hilang,semakin hilang dan akhirnya terus hilang. Mencari sinar kehidupan ibarat mencari satu cahaya yang boleh membahagiakan ‘rasa’ yang paling dalam. Bagaimana untuk mencari sinar yang semakin hilang itu?

Insan sedar yang mereka kehilangan sinar itu tapi mereka tidak menjumpai jalan bagaimana untuk mencari sinar itu. Hidup tanpa sinar, seolah-olah hidup dalam kegelapan,berjalan dalam kegelapan,tiada cahaya yang menerangi di sepanjang jalan kehidupan.

Seringkali insan,menolak jauh-jauh agama dalam kehidupannya. Mereka menganggap anggap agama Islam itu terlalu kolot,terlalu menyekat kebebasan;mereka terlalu benci pada agama yang mereka anuti. Tanpa rasa bersalah mereka menghina,mencaci para ulamak dan agama yang mereka anuti sejak kecil.

Mereka tidak tahu,apa yang mereka caci dan benci itulah,jalan menuju kepada sinar yang mereka cari selama ini. Melayu tanpa Islam,adalah sia-sia. Negara Arab tanpa Islam,akan sia-sia. Apa-apa sahaja bangsa mereka akan jadi sia-sia tanpa penghayatan Islam.


Kita menjengah pandangan dan membawa minda kita kepada negara barat,ada apa pada negara barat sekarang. Iya,kita akui mereka kuasai ekonomi dunia pada hari ini. Namun,mereka gagal;gagal dalam institusi kekeluargaan ,mereka menjadi negara tertinggi mencatat kadar jenayah, ramaja-remaja mereka ramai yang terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral.

Kehidupan di dunia ini,hanyalah satu persinggahan yang sementara. Kadang-kadang kita lupa bahawa kita akan meninggalkan dunia ini ,walaupun tiap-tiap hari kita mendengar berita kematian. Kita seolah-olah meletakkan diri kita,takkan mati kerana masih berusia muda. Hanya orang-orang tua yang perlu beribadat dan bagi golongan muda, mereka perlu berhibur sementara masih belum tua.

Insan yang menyedari diri bahawa sinar kehidupan telah hilang dalam dirinya,mereka perlu menaiki satu langkah tangga kehidupan. Mereka perlu mencari ilmu untuk mencari sinar itu. Semua orang tahu,betapa pentingnya ilmu dalam alam sejagat ini. Dimana-mana insan dapat menuntut ilmu,bukan sahaja di perpustakaan memandangkan ia gedung ilmu. Tidak,tidak tapi dimana-mana sahaja dan dengan sesiapa sahaja.

Namun, permulaan mencari sinar itu haruslah dimulakan dengan sesuatu yang amat-amat luarbiasa iaitu alquran. Seringkali kita diberitahu bahawa membaca alquran memberi seribu ketenangan kepada para pembaca. Tapi kenapa seringkali saya membaca alquran,namun saya tetap juga tidak tenang.

Bukan membaca alquran itu tidak memberikan anda ketenangan,namun kemungkinan bacaan anda salah tajwid,panjang pendek satu-satu bacaan dan sebagainya. Apa yang saya cuba kemukakan di sini adalah,pelajarilah bacaan alquran. Jangan pernah malu untuk belajar,rugi jika malu untuk belajar.

Namun,itu bukan menjadi penyebab untuk anda tidak menghayati dan membaca alquran. Itulah sinar kehidupan yang anda cari selama ini. Semakin anda menjauh padanya,semakin anda meninggalkan ajaran yang terkandung di dalamnya,semakin gelap dan kelam kehidupan anda.

Selain bacaan alquran tersebut,amat penting anda menghayati isi-isi yang terkandung di dalamnya.Subhanallah,ayat-ayat alquran yang anda baca terkandung ayat-ayat yang memuji Allah, ayat-ayat untuk anda mengenal Allah melalui Kekuasaan penciptaan langit,bumi,alam semesta dan sebagainya. Allahuakbar,Allah maha Besar,tiada apapun yang menyerupai Allah,tiada sekutu bagi Allah SWT.

Kita boleh menghayati kisah-kisah sahabat yang telah menemui sinar ini setelah sekian lama bergelumang dengan lubuk dosa dan maksiat. Anda boleh menyingkap kisah-kisah artis yang telah menemui sinar ini. Mereka bukan mencari publisiti murahan,akhlak mereka berubah seiringnya dengan pencarian sinar itu.
Ramai sahabat-sahabat nabi Muhammad SAW yang sanggup berkorban apa sahaja setelah sinar itu menyinari hati mereka yang paling dalam. Umar pada asalnya seorang yang sangat benci pada nabi dan Islam ,akhirnya sanggup berkorban harta dan nyawa demi Islam.

Maksiat demi maksiat yang kita lakukan pada hari ini,menyebabkan kita terus tenggelam dalam arus kemodenan yang dibanggakan oleh semua insan itu. Pada satu limit,kita tersentap oleh satu kejadian yang memeritkan dan di saat itu,tiada siapa yang sanggup dan dapat membantu anda. Di kala ini,insan yang telah kehilangan sinar dalam kehidupannya gara-gara maksiat demi maksiat yang dilakukan,menyebabkan dia tersungkur di tanah.Dia buntu dan akhirnya dia mengambil jalan untuk mengakhiri segala keperitan tersebut dengan membunuh diri.

Di atas,saya telah memberi satu situasi,tidak mustahil ia akan berlaku pada anda suatu hari nanti. Iya,tidak hari ini,mungkin esok dan suatu hari nanti,bila anda tiada lagi jalan keluar menghadapi sesuatu yang amat perit dalam kehidupan ini.

Allah SWT telah menyatakan dalam firmanNya kepada insan dimana hidup di dunia ini,hanyalah senda gurau dan permainan. Jadi apa sahaja yang anda lakukan di muka bumi,tiada apa-apa makna melainkan amal soleh dan kebaikan,saling nasihat-menasihati.

Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?( Al An'aam;ayat 32)

Itulah kehidupan yang sebenar-benarnya.  Bukanlah beerti Islam melarang umatnya untuk bergembira dan bersuka ria. Tidak!Islam itu cukup indah. Rasullulah SAW juga bergembira ,namun bagaimana cara yang diajar Islam. Islam mengajar kita menjaga batas-batas agama,jikalau hendak bergurau biarlah gurauan itu bukan reka-rekaan dan tidak berlebih-lebihan sehingga lalai daripada mengingati Allah SWT.

Kehidupan ini adakala menyebabkan kita buntu,tiada menemui jalan keluar bagi pelbagai permasalahan yang kita hadapi. Adakah kejam kehidupan ini? Itulah realiti sebuah kehidupan. Kehidupan kita bukan sepertimana movie yang kita tonton dimana kehidupan seorang kanak-kanak sehingga zaman remaja dan dewasa,yang dicipta watak hanya dalam masa 3 hingga 4 jam. Tidak,apa yang anda lihat itu,bukan realiti. Itu hanyalah fantasi. Kehidupan kita bukan begitu.

Ketahuilah,hanya dengan mencari sinar yang telah hilang itu dapat memberi anda semangat,kehidupan,kebahagiaan ,kekuatan,perlindungan dan semuanya dalam kehidupan yang sementara ini.

Sinar itu akan memberikan anda ‘rasa’ yang paling dalam di mana saat orang lain meninggalkan anda,anda tidak akan pernah merasa kesepian,di saat anda buntu menghadapi pelbagai  rencah kehidupan,anda masih tabah menghadapinya,di saat anda dilukai,anda masih boleh tersenyum,di saat anda dihina dan dicaci,anda masih dapat mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT,disaat anda dirundung luka dan keperitan kehidupan,anda masih dapat meneruskan kehidupan sebagaimana hari-hari biasa.

Carilah sinar yang semakin menghilang itu. Jangan pernah biarkan ia terus menghilang disebalik arus keperitan dan kesenangan sebuah kehidupan. Ketahuilah,sinar itu perlu dicari dan dikejar.


Carilah ilmu cahaya yang menyinari sinar kehidupan bak matahari yang menyinari bumi di siang hari. Carilah sinar itu dibalik ayat-ayat alquran yang cukup indah,hayatilah setiap ayat-ayat yang terkandung di dalamnya. Mohonlah pada yang Esa,agar sinar itu terus menyinari hidupmu dan mohonlah agar ia akan menyuluh jalan kehidupanmu sehingga nafas yang terakhir di muka bumi ini.

Alhamdullilah,akhir kalam,moga sedikit perkongsian mencari sinar yang hilang dapat membawa diri penulis dan pembacasentiasa mencari sinar itu. Sesungguhnya iman itu adalah mutiara. Iman tidak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa mengungkap lirik lagu Raihan. Moga mencari sinar itu akan menjadi salah satu misi utama kehidupan kita hari ini dalam menghadapi pancaroba sebuah kehidupan.


Penulis merupakan lulusan Ijazah Sarjana muda dalam sains(Bioteknologi),Universiti Puta Malaysia dan sekarang sedang menuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Industri,Universiti Selangor. Penulis adalah Exco Pembina GPTD Unisel. Lawati blog , http://yummieislam.blogspot.com .EMEL:yummie_mariam@yahoo.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Pages