RSS

Perbezaan antara ‘tahu’ dan ‘yakin’ dalam menentukan sebuah keimanan


Perbezaan antara ‘tahu’ dan ‘yakin’ dalam menentukan sebuah keimanan

Oleh: Maryam

Assalamu'alaikum

Alhamdullilah,segala puji bagi Allah s.w.t yang meringankan jari-jemari saya untuk menulis artikel yang bertajuk,apa beza antara ‘tahu’ dan ‘yakin’.Tajuk kali ini,kesinambungan dari tajuk-tajuk yang sebelum ini,agar dapat melengkapkan lagi ‘hati’ kita dengan kebenaran Islam itu.

Perkataan tahu dan yakin adalah perkataan yang saling melengkapi,dimana didahului dengan tahu,dan disusuli dengan yakin. Secara umum,tahu boleh diertikan sebagai ‘ilmu’.Manakala, yakin lebih kepada amalan. Mengapa saya berkata demikian?Kerana apa-apa sahaja perkara di dunia ini,perlu dimulai dengan tahu,bagaimana untuk tahu,iaitu dengan ilmu. Ilmu kita perolehi dengan mempelajari ilmu di sekolah, melalui ceramah-ceramah agama dan sebagainya. Saya katakan ‘yakin’ merujuk kepada amalan kerana sesiapa yang setelah tahu, dan kemudian yakin dengan kebangkitan hari akhirat akan memperbanyakkan amal ,bagi persediaan menuju ke sana. Dalam konteks ini,boleh dikatakan, ‘yakin’,merujuk kepada amalan. Manakala, ’orang yang tahu’, namun tidak yakin,tidak akan melaksanakan amalan-amalan sunat maupun wajib,agar dia terselamat di akhirat nanti.



Dalam konteks ini,kita boleh bahagikan ‘orang yang tahu’ kepada dua,yang pertama,setelah tahu mereka memperbanyakkan amalan iaitu orang yang yakin pada hari kebangkitan.Manakala golongan yang kedua adalah ‘orang yang tahu’,tetapi tidak yakin pada hari kebangkitan. Golongan yang kedua adalah golongan yang rugi dimana mereka tidak melakukan amalan yang wajib ,dan juga tidak membuat persediaan untuk hari akhirat.

 Orang-orang yang telah Kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya (tidak merobah dan mentakwilkan Al Kitab sekehendak hatinya), mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.( Al Baqarah;ayat 121)

Dan sekali-kali janganlah kamu termasuk orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang rugi. (Yunus;ayat 95)

Hampir semua ummat Islam tahu bahawa adanya kehidupan akhirat kerana seawal sekolah rendah,telah diajar subjek pengajian agama Islam dan Fardhu Ain.Dalam khutbah Jumaat juga,banyak mewar-warkan tentang hari kebangkitan ini.Namun,disebalik ilmu yang mereka tahu, mereka tidak mengamalkan ilmu tersebut,bahkan ada yang menolak Islam jauh-jauh daripada kehidupan mereka. Kenapa semua itu boleh terjadi,sedangkan mereka tahu tentang hari kebangkitan itu?Jawapannya,kerana mereka tahu,tetapi tidak yakin.

Hampir semua ummat Islam tahu adanya kehidupan akhirat,namun mereka tidak yakin akan kewujudan hari tersebut.Ini lah,permasalahn yang paling besar dihadapi oleh ummat Islam hari ini. Keyakinan itu adalah tanda keimanan,disertai dengan amalan bagi membuat persediaan untuk hari kebangkitan itu.

 (yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan shalat, dan menafkahkan sebahagian rezki yang Kami anugerahkan kepada mereka. dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.( Al Baqarah;ayat 3-4)

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat meminta supaya hari itu segera didatangkan dan orang-orang yang beriman merasa takut kepadanya dan mereka yakin bahwa kiamat itu adalah benar (akan terjadi). Ketahuilah bahwa sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang terjadinya kiamat itu benar-benar dalam kesesatan yang jauh.( Asy Syuura;ayat 18)

Di dalam ayat-ayat di atas,Allah menjelaskan orang yang beriman adalah orang yang yakin akan kehidupan akhirat.Itu adalah perbezaan di antara ‘yakin’ dan ‘tahu’.Orang yang yakin akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat ganjaran akhirat yang tiada bandingan dengan dunia ini.Orang yang tahu tanpa keyakinan,hanya mngamalkan apa yang diketahuinya dengan sambil lewa.


Cuba kita hayati ayat-ayat di atas dimana betapa besarnya Allah meletakkan perbezaan perkataan ‘tahu’ dan ‘yakin’ di antara seorang insan dengan insan yang lain .Sesiapa yang yakin dengan kebangkitan hari akhirat adalah termasuk dalam golongan orang yang beriman.Kenapa orang yakin adalah termasuk dalam golongan yang beriman?Kerana orang yang beriman iaitu orang yang yakin akan melaksanakan suruhan-suruhan Allah dan meninggalkan semua larangan Allah dengan bersungguh-sungguh,dan penuh harapan agar segala amalan yang dilakukannya diterima oleh Allah s.w.t.Di dalam ayat di atas,Allah berfirman ,orang yang beriman adalah orang yang beriman kepada yang ghaib,mendirikan solat dan menafkahkan hartanya pada jalan Allah.Semua suruhan tersebut adalah termasuk dalam suruhan-suruhan Allah s.w.t,dimana sebahagian amalan-amalan yang perlu dilakukan insan dimuka bumi ini,untuk persediaan bagi hari akhirat.

Beriman kepada yang ghaib dalam ayat tersebut beerti percaya dan yakin pada kewujudan malaikat, syaitan,neraka ,syurga dan semua perkara ‘yang ghaib’ yang dinyatakan di dalam alquran,walaupun kita tidak dapat melihat dengan mata kepala sendiri pada saat ini.Dalam ayat tersebut juga,Allah menyatakan orang yang beriman adalah orang yang mendirikan solat dimana salah satu rukun islam sebagai seorang islam adalah mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Betapa besar azab yang disediakan bagi orang yang meninggalkan satu waktu solat dengan sengaja.



Sabda Rasullulah SAW:
Barangsiapa yang memudahkan dan mensia-siakan sembahyang lima waktu,nescaya akan diseksa oleh Allah  SWT dengan lima belas siksa.Enam didalam dunia,tiga ketika hendak mati,tiga didalam kubur,dan tiga lagi semasa waktu bangun dari kubur menuju akhirat.

Manakala ‘orang yang tahu’ tentang hari kebangkitan itu,namun tidak yakin akan ada hari kebangkitan tidak tergolong dalam golongan yang beriman kerana mereka tidak melaksanakan suruhan Allah dan tidak meninggalkan laranganNya. Malah,ada segelintir mereka yang sanggup menghina ulamak dan mengatakan ‘perkataan negatif’ kepada ummat Islam. Sesiapa ‘yang tahu’ pada hari kebangkitan,namun tidak yakin, tidak akan tahu rasa takut dan gentar untuk melakukan kemaksiatan dan dosa-dosa besar kerana mereka tidak yakin akan ada pembalasan di atas segala dosa-dosa dan kejahatan yang dilakukan diatas muka bumi ini.

Namun,orang yang tahu dan yakin akan ada hari kebangkitan ,akan takut untuk melakukan dosa-dosa dan maksiat di muka bumi ini,kerana mereka tahu semua kejahatan itu akan dibalas oleh Allah s.w.t di akhirat nanti.

(Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, niscaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah.( An Nisaa';ayat 123)

Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan Tuhan, sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, niscaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu. Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.( Ar Ra'd;ayat 18)

Alhamdullilah,saya sudah huraikan panjang lebar perbezaan diantara ‘tahu’ dan ‘yakin’ dalam menentukan sebuah keimanan.Sekarang,tiba masanya untuk kita koreksi diri masing-masing,dimanakah diri kita. Sekarang,mari kita muhasabah diri,tengok pada diri dan lihat ke dasar hati.Di manakah tergolong diri kita?Jawab lah secara jujur kerana hanya anda yang tahu,diri anda sendiri. Tiada guna jika anda menipu diri anda waktu ini,kerana jika anda menipu,anda hanyalah menipu diri anda sendiri,bukan orang lain.Jika jawapan,yang diberikan oleh hati kecil anda,anda tergolong dalam golongan yang kedua,muhasabah lah diri,kenapa tiada keyakinan dalam diri anda tentang hari kebangkitan itu.Jika tergolong dalam golongan yang pertama,alhamdullilah ,Allah telah memberi hidayahNya kepada anda.

Bagaimana setelah ‘tahu’ tentang hari kebangkitan,untuk membina keyakinan yang utuh dalam diri.Untuk membina keyakinan bahawa apa yang kita tahu itu,pasti akan berlaku.Bagaimana?Untuk permasalahan yang begitu besar,saya akan mengemukan beberapa cadangan yang mudah boleh dilakukan oleh kita.Pertama,menuntut ilmu dengan menetapkan matlamat untuk memperoleh keyakinan tentang hari kebangkitan itu.Dua perkara yang berbeza diantara menuntut ilmu dengan satu matlamat dan menuntut ilmu hanya untuk ‘tahu’ bagi tujuan yang tertentu atau satu kebetulan.Secara kebetulan itu,contohnya,kita menghadiri solat Jumaat dan khutbah Jumaat hari itu bertajuk hari kebangkitan.kita telah mendengar dan ‘tahu’ tentang hari kebangkitan,setelah mendengar khutbah Jumaat hari itu,tapi adakah kita yakin,apa yang kita telah tahu itu. 

Apabila kita menuntut dengan satu matlamat,insyaAllah Allah s.w.t akan mempermudahkanNya.Yang kedua,dengan menghayati dan berfikir apa yang telah Allah s.w.t turunkan di dalam ayat-ayat alquran berkenaan dengan bukti-bukti kekuasaan Allah s.w.t.Setelah membaca ayat-ayat di dalam alquran terjemahan,fikirlah apa yang difirmankan oleh Allah s.w.t.Fikirlah dengan aqal yang logik tentang penciptaan langit,bumi dan alam semesta ini dimana hanya Allah yang mampu menciptakan alam semesta ini,kerana Allah Maha Berkuasa,hanya Allah yang berhak disembah.

Allah-lah yang menjadikan bumi bagi kamu tempat menetap dan langit sebagai atap, dan membentuk kamu lalu membaguskan rupamu serta memberi kamu rezki dengan sebahagian yang baik-baik. Yang demikian itu adalah Allah Tuhanmu, Maha Agung Allah, Tuhan semesta alam.( Al Mu'min;ayat 64)

Allah-lah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu beristirahat padanya; dan menjadikan siang terang benderang. Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyal karunia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.( Al Mu'min;ayat 61)

Terlalu banyak,ayat-ayat di dalam alquran yang dinyatakan oleh Allah secara logik akal dimana kita dapat melihat kebenaranNya.Di dalam alquran,terdapat semua jawapan yang bermain dalam diri kita.Baca dan hayatilah.Namun,perlu diingat,kita tidak boleh membayangkan apa yang berkaitan dengan zat-zat Allah yang dinyatakan di dalam alquran,kerana ia akan menyebabkan akidah kita terpesong.Jika syaitan mengganggu kita dengan bayangan yang tidak elok ketika kita menghayati alquran terjemahan, mohonlah perlindungan daripada Allah dengan mengucapkan ‘auzubillah minasyaithonirrajim’. InsyaAllah,Allah akan lindungi kita daripada tipuan daya iblis.



Selain itu,buatlah kajian-kajian tentang kehebatan Islam,kehebatan Nabi Muhamad s.a.w,kehebatan alquran,orang-orang hebat yang telah memeluk Islam kerana menjalankan pengkajian. InsyaAllah,anda akan menemui keyakinan itu.Mulalah usaha sekarang,pada saat ini,agar kita bukan menjadi hambaNya yang rugi akhirat nanti,sebaliknya menjadi hambaNya yang beruntung yang dikurniaakan syurga.

Penulis merupakan lulusan Ijazah Sarjana muda dalam sains(Bioteknologi),Universiti Puta Malaysia dan sekarang sedang menuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Industri,Universiti Selangor.Lawati blog , http://yummieislam.blogspot.com .EMEL:yummie_mariam@yahoo.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Pages